Tuesday 7 July 2015

Dari Padang ke Keusahawanan; HAIRUDDIN OMAR

TATKALA umurnya mencecah 36 tahun, kudrat Hairuddin Omar masih ditagih pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewarnai kancah bola sepak tanah air.
Pengalaman dimiliki anak kelahiran Setiu, Terengganu itu yang pernah mewakili negara dan beberapa pasukan negeri ini mendapat kepercayaan pengendali ATM, B. Sathianathan untuk menggalas tugas selaku kapten pasukan.
Bahkan, penyerang prolifik yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali ini merupakan antara atlet bola sepak awal tahun 2000 masih menabur bakti dalam saingan bola sepak tempatan.
Biarpun sentiasa sibuk dengan jadual latihan sebagai pemain profesional, Hairuddin atau dikenali sebagai Hai-O dalam kalangan rakan-rakan tetap ingin menceburi bidang baharu selain sukan bola sepak.
Pemain yang pernah menggegar gawang gol kelab gergasi England, Chelsea pada tahun 2003 ini, telah terjun dalam bidang keusahawanan dengan penubuhan Adeq Sue Resources Sdn. Bhd. (Adeq Sue).
Dia merupakan pemilik syarikat itu dan menggunakan nama Adeq Sue yang tiada kaitan dengan mana-mana individu sebagai jenama komersial.
Syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada 19 Mac 2014 ini bergiat aktif menghasilkan pes ikan bakar di Permint Perdana 2, Seberang Takir, Terengganu.
Selain itu, terdapat beberapa produk lain termasuk pes ikan bakar petai, tiga rasa, sambal bilis, tepung serbaguna dan sambal belacan segera diusahakan syarikat berkenaan.
Pencetus idea
Presiden Persatuan Pemain Bola sepak Profesional (PFAM) ini memberitahu, cetusan idea untuk menubuhkan perniagaan tersebut bermula sekitar tiga tahun lalu semasa menjalankan bisnes kedai makan, Adeq Sue Ikan Bakar yang menjadikan ikan bakar sebagai menu utama.
“Perniagaan restoran berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelanggan sehingga memberi idea untuk memperluaskan bidang perniagaan.
“Pertanyaan pelanggan acap kali untuk mendapatkan pes masakan di restoran menjadi pencetus idea kepada saya bergiat aktif dalam bidang pembuatan pes ini,” ujarnya ketika ditemui.
Hairuddin mula dikenali selepas membuat penampilan pertama bersama pasukan bola sepak Terengganu pada tahun 2000.
Pada tahun 2003, beliau mengambil keputusan untuk menyertai Pahang selepas menghadapi masalah dengan pihak pengurusan Terengganu.
Selepas lima tahun bersama Pahang, Hairuddin kembali ke Terengganu untuk menyertai pasukan berstatus kelab T-Team. Beliau berjaya membantu pasukan itu menjadi naib juara Liga Perdana pada musim 2009. Sebaik kempen liga tamat, beliau dipinjamkan ke Negeri Sembilan dan berjaya membantu pasukan itu menjadi juara Piala Malaysia.
Pada akhir tahun 2009, dia mengambil keputusan untuk menyertai Kelantan selama semusim dan sentuhan magisnya membantu skuad The Red Warriors menjulang trofi Piala Malaysia 2010.
Beliau kembali menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2011 dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik serta pemenang Kasut Emas pada perlawanan akhir Piala Malaysia. Hairuddin meneruskan karier sebagai pemain dengan menerima tawaran ATM pada edisi 2012 dan kekal bersama pasukan itu sehingga musim ini.
Menurut Hairuddin, ramai pelanggan bertanyakan mengenai pes masakan makanan diusahakan restoran Adeq Sue Ikan Bajar.
Katanya, dia telah membuat keputusan untuk mengembangkan sayap perniagaan dengan memberi tumpuan dalam pembuatan pes dan sos bagi memenuhi permintaan para pelanggan.
“Walaupun mengambil masa hampir tiga tahun tetapi ia menjadi kenyataan apabila mempunyai kilang pembuatan pes dan sos sendiri.
“Perkara ini dipermudahkan melalui bantuan agensi-agensi kerajaan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), SME Corp. Malaysia (SME Corp.), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.
“Kilang berkenaan dapat beroperasi sepenuhnya untuk memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengarah urusan Adeq Sue Resources Sdn. Bhd., Shukuriah Abd. Ghafar memberitahu, pes dan sos yang diusahakan syarikat berkenaan menggunakan bahan-bahan segar serta berkualiti dalam memberi keaslian kepada produk.
“Produk yang dihasilkan perlu mempunyai cita rasa seperti masakan di rumah dan restoran untuk memberi kepuasan kepada para pelanggan.
“Justeru, kita mempunyai langkah-langkah dan sukatan tertentu malah masih menggunakan cara tradisional untuk memastikan kesemua produk dihasilkan menepati piawaian yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Shukuriah memberitahu, syarikat juga telah dianugerahkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bulan Mac lalu.
Katanya, ia amat penting kerana pihaknya menitikberat aspek kebersihan dalam pembuatan produk-produk berkenaan.
“Kelebihan produk Adeq Sue bukan sahaja terletak pada keaslian rasa tetapi penyediaannya mudah dan ringkas.
“Kita memahami kehidupan masyarakat masa kini yang sentiasa mengejar masa. Pada masa yang sama, mereka juga ingin memastikan dapat menyediakan juadah seisi keluarga dengan mudah dan pantas tetapi mengekalkan keaslian rasa,” katanya.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan, para pengguna boleh memasak ikan tiga rasa dengan cepat dan mudah.
Beliau yang cukup peramah memberitahu, mereka hanya perlu menggoreng ikan dan menambah pes tiga rasa pada juadah berkenaan.
Pes tiga rasa dan sambal ikan bilis antara produk yang sering mendapat sambutan.
“Selain itu, pes tom yam juga menjadi kegemaran para pelanggan kerana mudah menyediakan tom yam pok tek.
“Kita juga menjual pada harga berpatutan iaitu antara RM2.80 hingga RM10 sahaja dalam bentuk peket dan botol kepada pengguna,” ujarnya.
Syarikat tersebut juga dalam perancangan membangunkan produk seperti cili giling, sos lada hitam, cili, tomato, bawang goreng dan beberapa lagi.
Shukuriah menambah, sebagai syarikat bumiputera, mereka juga ingin membantu komuniti setempat peluang pekerjaan.
Justeru, kilang berkenaan menggunakan tenaga ibu tunggal, penduduk setempat dan sedang mencari orang kelainan upaya (OKU).
“Sehingga kini, syarikat berkenaan mempunyai 18 orang pekerja dan bercadang menambah dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pekerja yang merupakan ibu tunggal, Roslina Abdul Wahab, 50, memberitahu, dia sangat beruntung kerana dapat bekerja di kilang berkenaan.
“Saya menimba banyak pengalaman apabila bekerja di syarikat ini dan sedikit sebanyak dapat menampung keperluan keluarga.
“Saya berharap kilang ini akan berkembang dalam memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Hairuddin yang mempunyai wawasan tersendiri memberitahu, beliau bercadang untuk memiliki tanah dan membina kilang yang lebih besar dalam jangka masa terdekat bagi menampung permintaan.
Kios
“Buat masa ini, kilang yang beroperasi mampu menghasilkan kira-kira 1,000 produk sehari.
“Saya perlu meningkatkan lagi hasil pengeluaran kerana produk Adeq Sue akan mula berada di 70 buah cawangan syarikat gergasi, Giant, Lembah Klang dan Pantai Timur pada pertengahan April ini,” katanya.
Beliau menambah, untuk perancangan jangka panjang pihaknya akan meneroka pasaran antarabangsa untuk memasarkan produk-produk Adeq Sue.
Selain itu, Hairuddin berkata, syarikat juga akan membuka peluang kepada usahawan-usahawan muda untuk memulakan perniagaan dengan menyediakan kios Adeq Sue.
“Para usahawan muda ini hanya perlu menyediakan modal sebanyak RM8,000 dan kita akan menyediakan semua keperluan mereka.
“Kita akan membuat konsep seperti gerai burger tetapi menggunakan jenama Adeq Sue dengan menjual nasi bersama masakan ikan bakar dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata, projek perintis akan dimulakan


dengan 10 usahawan dan dijangka bermula tahun ini.
Hairuddin berharap, usaha ini menjadi platform kepada usahawan-usahawan muda yang tidak mempunyai modal untuk menceburi bidang perniagaan.


No comments:

Post a Comment