Tuesday 7 July 2015

LAGENDA 17

IKA anda menginginkan aura tempat makan seumpama suasana di padang bola sepak, berkunjunglah ke Restoran Lagenda 17 yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam.
Melangkah masuk ke Restoran milik legenda bola sepak negara era 80-an, Zainal Abidin Hassan, 49, hati pasti tertawan dengan dekorasi dalamannya.
Di kiri dan kanan dinding restoran terdapat gambar-gambar kenangannya ketika legenda bola sepak negara itu mewakili Malaysia dan negeri sejak berumur 17 tahun.
Zainal Abidin ketika ditemui baru-baru ini percaya, para pelanggan yang bertandang ke premisnya pasti dapat mengimbau kembali memori-memori lama kegemilangannya sebagai pemain bola sepak.
“Setiap gambar menceritakan kegembiraan saya ketika menyarung jersi bernombor 17 bersama rakan-rakan yang lain termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari,” katanya sambil memberitahu operasi kedainya sudah bermula sejak setahun yang lalu.
Namun paling mencuri tumpuan adalah beberapa helai jersi yang pernah disarung wira negara itu.
Tidak cukup dengan itu, Zainal Abidin turut berkongsi dengan para pelanggan tentang kedudukan formasi atau strateginya dalam permainan bola sepak.
Bagaimana idea menubuhkan restoran ini tercetus?
Ujarnya, semuanya bersandarkan kepada minatnya dalam perniagaan dan ia menjadi kenyataan apabila didorong oleh rakan yang kini merangkap penyelia restoran, Mohd. Fadzil Mohd. Halimi.
Semasa kunjungan Kosmo!, restoran ini tidak putus dikunjungi orang ramai. Barangkali lokasinya yang terletak berhampiran dengan institusi pengajian tinggi, kawasan perumahan dan pejabat menyebabkan ia menjadi pilihan yang disenangi.
Selain itu, antara faktor lain yang menggamit perhatian umum ialah kemudahan WiFi dan skrin televisyen besar.
Nasi ayam Hainan
Restoran Lagenda 17 tentunya mempunyai hidangan signatur. Kata Zainal Abidin yang kini merupakan Penolong Jurulatih pasukan bola sepak Pahang, pengunjung harus mencuba nasi ayam Hainan yang juga merupakan makanan kegemarannya.
“Nasi ayam adalah makanan kegemaran saya, jadi saya ketengahkan juadah ini khas untuk para tetamu.
“Ia dihidangkan dalam dua rasa iaitu panggang dan kukus. Harganya pula RM6.20 sepinggan,” katanya penuh rasa teruja.
Menu-menu lain pula ialah asam pedas bunian yang berharga antara RM6.90 hingga RM7.90 dan lauk-pauk kampung.
“Kita juga ada pelbagai jenis ikan bakar termasuk pari, siakap dan kembung serta masakan ala-carte. Mengenai harganya pula, sememangnya sangat berpatutan,” katanya yang turut menyarankan minuman epal asam boi. yang digemari ramai.
Melihat kepada perkembangan positif bisnes restorannya, Zainal Abidin bercadang untuk membuka sebuah lagi restoran di Bukit Jelutong, Shah Alam sedikit masa lagi.
Kepada yang ingin membuat tempahan sama ada katering atau ingin mengadakan keraian seperti majlis hari jadi, boleh hubungi talian 03 55237717.





Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Urban&pg=ur_02.htm#ixzz3fCDaEqNg 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment