Sunday 12 July 2015

ENJOY'S CORNER


pemilik kedai: Ijoy & Sharifah Shahira
(entah betul ke tidak aku eja)

aku search di internet antara kedai best utk di lepak, so jumpa yang ini. buat pertama kali aku pergi dengan Marbawi & Gejetto. Ingat nak ajak Faiz, call x angkat.

Sebenarnya x tahu pun milik artis, tapi bila dah lama lepak2 kat situ perasan ramai artis kat situ, nama??? mmglah aku kurang kenal, cuma pernah tgk la berlakon kat tv. korang tgk mesti korang kenallah.

So...malam tu kami minum2 je, order - air sampai - bayar. serupa juga kalau makan, order - makanan sampai - bayar. x perlu ke kaunter. Kat sini ada jual rokok. hahaha. Ada jual vaps, ada shisa. rata2 kat cn aku tgk dok hisap vaps. ok. Ada big screen....gerai makanan yang banyak. Gerai diberi nama Studio. Misalnya Studio 1 jual nasi lemak, studio 2 jual maggi ketam...contoh la. Ada berbelah jugak la studio. 

Tempat mmg selesa untuk lepak!!! kalau hujan la aku nampak kelam kabut sikit, bumbung terhad. kawasan kedai dan suasana yang tenang dan aman, tak mcm kedai mamak. Kedai tutup jam 3 pagi.

Sebelum balik aku bungkus nasi lemak ayam berempah. Harga RM8 sebungkus/ sepinggan. Memang sedap. rugi x try!!!

Nak pergi?!?!?!?! search je kat google map atau waze enjoy corner melawati. then follow. Insya'allah sampai (aku boleh smapai xkan korang x leh sampai)

So next time aku nak datang lagi. mmg best!!! 9 bintang.

Tuesday 7 July 2015

SHALIN'S BOWL

BUKANNYA mudah bagi atlet wanita yang baru sahaja bergelar seorang ibu untuk menyahut cabaran kejohanan besar, lebih-lebih lagi perlu mengikuti jadual latihan yang ketat. Sebaliknya, bagi pemain boling negara , Shalin Zulkifli, 35, menganggap kehadiran cahaya mata sebagai pembakar semangat dalam memperbaiki kerjayanya.
Hasil perkongsian hidup dengan suami yang juga pemain boling, Azidi Ameran, Shalin dikurniakan anak perempuan diberi nama Aleya.
Sejak bergelar isteri dan ibu, keluarga menjadi keutamaan Shalin dan dia mahu melihat anaknya membesar di depan mata.
“Saya telah melalui kitaran dalam kerjaya sebagai pemain boling. Sejak remaja saya bermain boling. Sekarang, saya seorang ibu. Perasaan ketika mula-mula menyambut kelahiran Aleya sukar dipercayai. Ini adalah tanggungjawab baru, namun saya pasti ia tidak akan membawa saya jauh dari boling.
Saya ingin mencurahkan sepenuh kasih sayang buatnya," katanya.
Rutin harian Shalin bermula dengan menguruskan Aleya sebelum menjalani latihan. Pada waktu lapang, Shalin dan suami lebih gemar melayan kerenah anak mereka.



Shalin dan suami turut mengambil keputusan tidak menggunakan khidmat pembantu rumah untuk menjaga permata hati mereka, sebaliknya, bergilir-gilir menjaga Aleya.
Perniagaan
Setelah berjaya mencipta nama dalam bidang sukan, ratu boling negara ini mula mengorak langkah sebagai ahli perniagaan dengan membuka akademi dan pusat boling bertaraf antarabangsa.
Pusat boling yang dikenali sebagai Shalin ‘s Bowl terletak di pusat beli-belah baharu, Space U8, Shah Alam, Selangor.
Menurut Shalin, pusat boling ini menyediakan kemudahan boling 24 lorong serba moden serta dilengkapi peralatan latihan untuk pelatih akademinya.
Katanya, akademi boling yang disediakan oleh Shalin ‘s Bowl adalah yang pertama di negara ini dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang berminat dalam sukan ini.
" Shalin ‘s Bowl menawarkan suasana menarik dan berbeza berbanding pusat boling lain, di mana segala kemudahan serta landskapnya menampilkan ciri-ciri moden.
“Dengan kewujudan Shalin ‘s Bowl, orang ramai kini mempunyai pilihan aktiviti untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan, selain menjadi pusat latihan intensif pemain boling amatur atau profesional" ujarnya.
Tambahnya, Shalin’s Bowl adalah impiannya dan akan menjadi sumber pendapatan utama apabila sudah tidak bergiat aktif dalam sukan boling.
Katanya, jika semuanya berjalan lancar dan berjaya di pusat boling ini, dia akan membuka cawangan baharu demi memperjuangkan sukan ini.
Dalam pada itu, Shalin ingin menjadikan penubuhan Shalin’s Bowl sebagai medan melahirkan lebih ramai pemain boling tempatan yang mampu menyinar di peringkat antarabangsa pada masa depan.
Shalin dan suaminya, Azidi Ameran akan bertindak selaku jurulatih selain dibantu oleh beberapa tenaga pengajar lain.
Berkorban
Sudah tentu ramai pemain boling muda yang ingin berjaya seperti Shalin. Namun, kejayaan yang dimiliki Shalin tidak datang bergolek. Segalanya hasil usahanya tanpa mengenal erti penat dan jemu.
Nasihatnya kepada generasi muda supaya menyintai setiap apa yang mereka ingin lakukan dan berkorban.
“Untuk berjaya tidak mudah. Mula-mula kita akan berasa susah. Kita perlu mula daripada bawah. Kemudian kita perlu berkorban, pupuk keazaman dan matlamat untuk berjaya.
“Saya sarankan kepada ibu bapa supaya menggalakkan anak mereka bersukan, tidak kiralah apa jenis sukan. Aktiviti ini banyak faedah untuk anak-anak," katanya yang turut menyokong penyertaan atlet-atlet negara dalam sukan Olimpik Khas Asia Pasifik kali pertama yang bakal diadakan di Newcastle, Australia akhir tahun ini.
Shalin akan memberi komitmen dengan mengadakan klinik motivasi untuk atlet-atlet istimewa bagi meningkatkan keyakinan diri atlet sukan Olimpik Khas.
Dalam pada itu, Shalin melihat sukan boling boleh berkembang baik tetapi memerlukan sokongan dari segi pembangunan pusat latihan.
Baginya, kekurangan pusat latihan menyukarkan perkembangan sukan ini khususnya bagi atlet baharu.


Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130331/ke_02/Dunia-baharu-Shalin-ratu-boling#ixzz3fGqNSJha 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

FIRDAUS FITNESS GYM

irdaus Fitness & Gym merupakan pusat kecergasan yang patut anda kunjungi. Ia sesuai untuk anda yang inginkan kehidupan yang sihat,aktif dan bertenaga. Firdaus Fitness & Gym menawarkan perkhidmatan seperti gymnasium, program menurunkan berat badan, fisioterapi dan pelbagai lagi perkhidmatan yang dapat membantu merealisasikan impian anda.

Pemilik gym ini adalah merupakan bekas atlet angkat berat negara, Firdaus Abd. Razak. Firdaus merupakan pengarah urusan syarikat itu yang ditubuhkan pada tahun 2007. 



LAGENDA 17

IKA anda menginginkan aura tempat makan seumpama suasana di padang bola sepak, berkunjunglah ke Restoran Lagenda 17 yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam.
Melangkah masuk ke Restoran milik legenda bola sepak negara era 80-an, Zainal Abidin Hassan, 49, hati pasti tertawan dengan dekorasi dalamannya.
Di kiri dan kanan dinding restoran terdapat gambar-gambar kenangannya ketika legenda bola sepak negara itu mewakili Malaysia dan negeri sejak berumur 17 tahun.
Zainal Abidin ketika ditemui baru-baru ini percaya, para pelanggan yang bertandang ke premisnya pasti dapat mengimbau kembali memori-memori lama kegemilangannya sebagai pemain bola sepak.
“Setiap gambar menceritakan kegembiraan saya ketika menyarung jersi bernombor 17 bersama rakan-rakan yang lain termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari,” katanya sambil memberitahu operasi kedainya sudah bermula sejak setahun yang lalu.
Namun paling mencuri tumpuan adalah beberapa helai jersi yang pernah disarung wira negara itu.
Tidak cukup dengan itu, Zainal Abidin turut berkongsi dengan para pelanggan tentang kedudukan formasi atau strateginya dalam permainan bola sepak.
Bagaimana idea menubuhkan restoran ini tercetus?
Ujarnya, semuanya bersandarkan kepada minatnya dalam perniagaan dan ia menjadi kenyataan apabila didorong oleh rakan yang kini merangkap penyelia restoran, Mohd. Fadzil Mohd. Halimi.
Semasa kunjungan Kosmo!, restoran ini tidak putus dikunjungi orang ramai. Barangkali lokasinya yang terletak berhampiran dengan institusi pengajian tinggi, kawasan perumahan dan pejabat menyebabkan ia menjadi pilihan yang disenangi.
Selain itu, antara faktor lain yang menggamit perhatian umum ialah kemudahan WiFi dan skrin televisyen besar.
Nasi ayam Hainan
Restoran Lagenda 17 tentunya mempunyai hidangan signatur. Kata Zainal Abidin yang kini merupakan Penolong Jurulatih pasukan bola sepak Pahang, pengunjung harus mencuba nasi ayam Hainan yang juga merupakan makanan kegemarannya.
“Nasi ayam adalah makanan kegemaran saya, jadi saya ketengahkan juadah ini khas untuk para tetamu.
“Ia dihidangkan dalam dua rasa iaitu panggang dan kukus. Harganya pula RM6.20 sepinggan,” katanya penuh rasa teruja.
Menu-menu lain pula ialah asam pedas bunian yang berharga antara RM6.90 hingga RM7.90 dan lauk-pauk kampung.
“Kita juga ada pelbagai jenis ikan bakar termasuk pari, siakap dan kembung serta masakan ala-carte. Mengenai harganya pula, sememangnya sangat berpatutan,” katanya yang turut menyarankan minuman epal asam boi. yang digemari ramai.
Melihat kepada perkembangan positif bisnes restorannya, Zainal Abidin bercadang untuk membuka sebuah lagi restoran di Bukit Jelutong, Shah Alam sedikit masa lagi.
Kepada yang ingin membuat tempahan sama ada katering atau ingin mengadakan keraian seperti majlis hari jadi, boleh hubungi talian 03 55237717.





Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Urban&pg=ur_02.htm#ixzz3fCDaEqNg 
Hakcipta terpelihara 

Dari Padang ke Keusahawanan; HAIRUDDIN OMAR

TATKALA umurnya mencecah 36 tahun, kudrat Hairuddin Omar masih ditagih pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mewarnai kancah bola sepak tanah air.
Pengalaman dimiliki anak kelahiran Setiu, Terengganu itu yang pernah mewakili negara dan beberapa pasukan negeri ini mendapat kepercayaan pengendali ATM, B. Sathianathan untuk menggalas tugas selaku kapten pasukan.
Bahkan, penyerang prolifik yang pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak empat kali ini merupakan antara atlet bola sepak awal tahun 2000 masih menabur bakti dalam saingan bola sepak tempatan.
Biarpun sentiasa sibuk dengan jadual latihan sebagai pemain profesional, Hairuddin atau dikenali sebagai Hai-O dalam kalangan rakan-rakan tetap ingin menceburi bidang baharu selain sukan bola sepak.
Pemain yang pernah menggegar gawang gol kelab gergasi England, Chelsea pada tahun 2003 ini, telah terjun dalam bidang keusahawanan dengan penubuhan Adeq Sue Resources Sdn. Bhd. (Adeq Sue).
Dia merupakan pemilik syarikat itu dan menggunakan nama Adeq Sue yang tiada kaitan dengan mana-mana individu sebagai jenama komersial.
Syarikat bumiputera yang ditubuhkan pada 19 Mac 2014 ini bergiat aktif menghasilkan pes ikan bakar di Permint Perdana 2, Seberang Takir, Terengganu.
Selain itu, terdapat beberapa produk lain termasuk pes ikan bakar petai, tiga rasa, sambal bilis, tepung serbaguna dan sambal belacan segera diusahakan syarikat berkenaan.
Pencetus idea
Presiden Persatuan Pemain Bola sepak Profesional (PFAM) ini memberitahu, cetusan idea untuk menubuhkan perniagaan tersebut bermula sekitar tiga tahun lalu semasa menjalankan bisnes kedai makan, Adeq Sue Ikan Bakar yang menjadikan ikan bakar sebagai menu utama.
“Perniagaan restoran berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pelanggan sehingga memberi idea untuk memperluaskan bidang perniagaan.
“Pertanyaan pelanggan acap kali untuk mendapatkan pes masakan di restoran menjadi pencetus idea kepada saya bergiat aktif dalam bidang pembuatan pes ini,” ujarnya ketika ditemui.
Hairuddin mula dikenali selepas membuat penampilan pertama bersama pasukan bola sepak Terengganu pada tahun 2000.
Pada tahun 2003, beliau mengambil keputusan untuk menyertai Pahang selepas menghadapi masalah dengan pihak pengurusan Terengganu.
Selepas lima tahun bersama Pahang, Hairuddin kembali ke Terengganu untuk menyertai pasukan berstatus kelab T-Team. Beliau berjaya membantu pasukan itu menjadi naib juara Liga Perdana pada musim 2009. Sebaik kempen liga tamat, beliau dipinjamkan ke Negeri Sembilan dan berjaya membantu pasukan itu menjadi juara Piala Malaysia.
Pada akhir tahun 2009, dia mengambil keputusan untuk menyertai Kelantan selama semusim dan sentuhan magisnya membantu skuad The Red Warriors menjulang trofi Piala Malaysia 2010.
Beliau kembali menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2011 dan dinobatkan sebagai Pemain Terbaik serta pemenang Kasut Emas pada perlawanan akhir Piala Malaysia. Hairuddin meneruskan karier sebagai pemain dengan menerima tawaran ATM pada edisi 2012 dan kekal bersama pasukan itu sehingga musim ini.
Menurut Hairuddin, ramai pelanggan bertanyakan mengenai pes masakan makanan diusahakan restoran Adeq Sue Ikan Bajar.
Katanya, dia telah membuat keputusan untuk mengembangkan sayap perniagaan dengan memberi tumpuan dalam pembuatan pes dan sos bagi memenuhi permintaan para pelanggan.
“Walaupun mengambil masa hampir tiga tahun tetapi ia menjadi kenyataan apabila mempunyai kilang pembuatan pes dan sos sendiri.
“Perkara ini dipermudahkan melalui bantuan agensi-agensi kerajaan termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), SME Corp. Malaysia (SME Corp.), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.
“Kilang berkenaan dapat beroperasi sepenuhnya untuk memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengarah urusan Adeq Sue Resources Sdn. Bhd., Shukuriah Abd. Ghafar memberitahu, pes dan sos yang diusahakan syarikat berkenaan menggunakan bahan-bahan segar serta berkualiti dalam memberi keaslian kepada produk.
“Produk yang dihasilkan perlu mempunyai cita rasa seperti masakan di rumah dan restoran untuk memberi kepuasan kepada para pelanggan.
“Justeru, kita mempunyai langkah-langkah dan sukatan tertentu malah masih menggunakan cara tradisional untuk memastikan kesemua produk dihasilkan menepati piawaian yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Shukuriah memberitahu, syarikat juga telah dianugerahkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada bulan Mac lalu.
Katanya, ia amat penting kerana pihaknya menitikberat aspek kebersihan dalam pembuatan produk-produk berkenaan.
“Kelebihan produk Adeq Sue bukan sahaja terletak pada keaslian rasa tetapi penyediaannya mudah dan ringkas.
“Kita memahami kehidupan masyarakat masa kini yang sentiasa mengejar masa. Pada masa yang sama, mereka juga ingin memastikan dapat menyediakan juadah seisi keluarga dengan mudah dan pantas tetapi mengekalkan keaslian rasa,” katanya.
Sebagai contoh, beliau menjelaskan, para pengguna boleh memasak ikan tiga rasa dengan cepat dan mudah.
Beliau yang cukup peramah memberitahu, mereka hanya perlu menggoreng ikan dan menambah pes tiga rasa pada juadah berkenaan.
Pes tiga rasa dan sambal ikan bilis antara produk yang sering mendapat sambutan.
“Selain itu, pes tom yam juga menjadi kegemaran para pelanggan kerana mudah menyediakan tom yam pok tek.
“Kita juga menjual pada harga berpatutan iaitu antara RM2.80 hingga RM10 sahaja dalam bentuk peket dan botol kepada pengguna,” ujarnya.
Syarikat tersebut juga dalam perancangan membangunkan produk seperti cili giling, sos lada hitam, cili, tomato, bawang goreng dan beberapa lagi.
Shukuriah menambah, sebagai syarikat bumiputera, mereka juga ingin membantu komuniti setempat peluang pekerjaan.
Justeru, kilang berkenaan menggunakan tenaga ibu tunggal, penduduk setempat dan sedang mencari orang kelainan upaya (OKU).
“Sehingga kini, syarikat berkenaan mempunyai 18 orang pekerja dan bercadang menambah dalam masa terdekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pekerja yang merupakan ibu tunggal, Roslina Abdul Wahab, 50, memberitahu, dia sangat beruntung kerana dapat bekerja di kilang berkenaan.
“Saya menimba banyak pengalaman apabila bekerja di syarikat ini dan sedikit sebanyak dapat menampung keperluan keluarga.
“Saya berharap kilang ini akan berkembang dalam memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Sementara itu, Hairuddin yang mempunyai wawasan tersendiri memberitahu, beliau bercadang untuk memiliki tanah dan membina kilang yang lebih besar dalam jangka masa terdekat bagi menampung permintaan.
Kios
“Buat masa ini, kilang yang beroperasi mampu menghasilkan kira-kira 1,000 produk sehari.
“Saya perlu meningkatkan lagi hasil pengeluaran kerana produk Adeq Sue akan mula berada di 70 buah cawangan syarikat gergasi, Giant, Lembah Klang dan Pantai Timur pada pertengahan April ini,” katanya.
Beliau menambah, untuk perancangan jangka panjang pihaknya akan meneroka pasaran antarabangsa untuk memasarkan produk-produk Adeq Sue.
Selain itu, Hairuddin berkata, syarikat juga akan membuka peluang kepada usahawan-usahawan muda untuk memulakan perniagaan dengan menyediakan kios Adeq Sue.
“Para usahawan muda ini hanya perlu menyediakan modal sebanyak RM8,000 dan kita akan menyediakan semua keperluan mereka.
“Kita akan membuat konsep seperti gerai burger tetapi menggunakan jenama Adeq Sue dengan menjual nasi bersama masakan ikan bakar dan lain-lain," katanya.
Beliau berkata, projek perintis akan dimulakan


dengan 10 usahawan dan dijangka bermula tahun ini.
Hairuddin berharap, usaha ini menjadi platform kepada usahawan-usahawan muda yang tidak mempunyai modal untuk menceburi bidang perniagaan.